Abah aku bawa teksi. Sebaik saja bergelar pesara tentera berpangkat Staff Sarjan, tiada kerja lain yang boleh abah aku lakukan. Bukan kerana tidak boleh melakukan kerja lain tapi dia lebih selesa sebagai pemandu teksi. Bagi dia dengan jadi pemandu teksi dia bebas ke mana saja tanpa dikongkong oleh majikan. Nak kerja bila-bila masa pun boleh.Sesekali mama pernah pesan abah supaya cari kerja lain tetapi dimarahnya mama. Mana tidaknya, mama suruh abah jadi 'security guard'. Jadi tunggul lah dia.
Abah yang aku kenal seorang yang tak boleh duduk diam. Ada sekali teksi rosak dan terpaksa dihantar ke bengkel selama 2 minggu. Teksi ni memang selalu rosak sebenarnya. Tiada kerjalah abah. Maka, kebosananlah orang tua tu. Masa itu sekeliling rumah aku tak berpagar. Abah aku yang alang-alang tak ada kerja terlintas nak bina tembok dan pagar. Dipesannya bahan-bahan dan alat-alat dari kedai 'hardware' berdekatan.
Aku yang pada ketika itu baru sahaja tamat sekolah dan sedang menunggu keputusan SPM serta tidak bekerja dijadikan buruh tidak bergaji bagi merealisasikan impian abah membina tembok dan pagar. Sungguh menjerihkan sepanjang menjadi buruh tidak bergaji dan dalam masa yang sama mengharap teksi abah cepat siap dibaiki dan dia dapat lupakan dan menghentikan kerja yang menjerihkan ini. Menjerihkan bagi aku mungkin.
Pada mulanya, abah aku tidak memiliki permit untuk memiliki sebuah teksi dan hanya sewa teksi (teksi yg rosak tadi) dari kenalannya yang merupakan Mejar bersara. Setiap bulan abah wajib membayar RM1000 kepada tuan punya teksi. Abah pula perlu ke hulu ke hilir di sekeliling Bandar Kuantan di waktu siangnya untuk cari upah untuk diri sendiri selepas itu balik rumah lewat petang untuk rehat seketika.
Selepas itu keluar semula selepas Isyak cari upah untuk kumpul duit sewa teksi dan balik keesokan paginya. Maka sepanjang waktu itulah aku kadang-kadang saja dapat bertegur sapa dengan abah. Waktu aku ada di rumah pun dia selalu tiada dan kalau ada pun dia tidur. Kewangan keluarga juga agak tak stabil pada masa tu kalau hanya bergantung kepada elaun persaraan saja.
Tapi sekarang, abah aku sudah ada permit. Itu pun sewa dari orang. Pernah memohon permit tapi selalu gagal. Dengan adanya permit abah boleh memiliki teksi sendiri. Abah pun beli teksi iswara 'second-hand'. Jadi dia tak perlulah sewa teksi yang selalu rosak tu dengan RM1000 setiap bulan tapi hanya perlu bayar ansuran kereta RM400 sebulan. Bayaran sewa untuk permit aku tak pasti. Kereta pun memang baru.
Kewangan keluarga aku stabil selepas itu tapi abah perlu bergelut juga untuk dapat jumlah upah yang disasarkan setiap bulan. Ke hulu ke hilir lah dia di sekeliling Bandar Kuantan sehingga sampai ke luar Kuantan dan kadangkala keluar ke negeri-negeri lain menghantar penumpang tidak kira siang atau malam.
Berkata tentang penumpang, abah selalu mencari penumpang di terminal bas. Ada sekali aku ke bandar ternampak abah. Abah hanya berdiri menanti dan termenung dengan wajah mengharap sambil hisap rokok. Agak lama juga abah berkeadaan begitu. Lepas sebatang rokok habis, dihisapnya sebatang lagi. Tak dapat dinafikan abah memang kuat merokok. Mungkin penat menanti penumpang yang kebanyakannya daripada penumpang bas ekspres.
Aku lihat dari jauh, mula rasa sebak. Inikah kerja abah hari-hari. Tidak bosan dan penatkah abah. Siang dan malam. Inikah yang abah buat hari-hari untuk sara kami sekeluarga. Sejak hari itu, aku tak pernah meminta apa-apa dari abah. Duit belanja semasa belajar di kolej aku tak pernah mintak pun melainkan dia nak bagi. Pernah abah aku tanya kenapa aku berat mulut sangat nak minta duit dari dia. Aku membisu saja.
P/S : Ini entri recycle. Teksi Iswara yang diceritakan tadi dah remuk teruk sebab kemalangan hari ke-3 puasa lepas. Syukur, abah aku selamat walaupun agak parah. Sekarang dah makin cergas cuma kaki tak kuat lagi. Apa-apa pun, Selamat Hari Raya Aidil Adha. Aku tak balik kampung.